Tragedi hitam Deir Yassin dalam kenangan)
Sudah menjadi kenyataan bahawa agenda dunia kini dikendalikan oleh media proksi Barat, yang majoritinya memihak kepada Yahudi, Zionis dan Israel yang sentiasa menyembunyikan kebenaran peristiwa-peristiwa yang berlaku di mana-mana di dunia ini terutamanya di Palestin. Namun, sudah terlalu banyak kejadian yang berupa kezaliman dan kekejaman yang keterlaluan serta bersifat kebinatangan telah didokumentasikan oleh pertubuhan-pertubuhan kemanusiaan antarabangsa. Tragedi Deir Yassin yang berlaku 64 tahun yang lalu adalah satu daripada ratusan peristiwa yang menggambarkan sifat brutal penjajah Yahudi Zionis di bumi Palestin.
Di manakah letaknya Deir Yassin ?
Deir Yassin dahulunya adalah sebuah perkampungan kecil orang-orangPalestin yang terletak di sebelah barat wilayah Baitul Maqdis.
Deir Yassin terletak kira-kira 1400 meter di utara Yad Vashem, sebuah tugu peringatan Holocaust yang paling terkenal di mana Yahudi Zionis telah mengajar dunia agar “Tidak Akan Lupa” terhadap Holocaust.
Apakah latar belakang tragedi Deir Yassin ?
Tahun 1948 adalah tahun malang bagi rakyat Palestin apabilasecara sistematik negara mereka terus dicabuli dengan penjajahan Yahudi Zionis. Rentetan duka Palestin terus berpanjangan apabila sidang pleno PBB yang dipengaruhi Yahudi telah mengeluarkan ‘Ketetapan 181’ yang malang pada 29hb November 1947 dengan membahagikan 2/3 tanah Negara Palestin kepada pendatang Yahudi manakala bakinya yang hanya 1/3 keluasan tanah Palestin pula diberikan kepada penduduk asal Palestin yang sah.
Ketetapan ini sangat bercanggah dengan prinsip PBB sendiri iaitu untuk melaksanakan ketetapan hak-hak bangsa dari segi kebebasan dan penentuan nasib mereka sendiri. Rakyat Palestin yang terlibat dengan isu ini tidak langsung diminta pendapat dan keizinan malahan mereka mengalami kezaliman dan penindasan yang amat dahsyat.
Namun rakyat Palestin terus bangkit berjuang hampir bersendirian di kala penjajah Yahudi Zionis terus dibantu oleh British dan PBB secara langsung sehinggalah berlakunya penubuhan negara haram Israel pada tanggal 15hb Mei 1948.
Tragedi Deir Yassin
Pada malam 9hb April 1948, penduduk desa Deir Yassin dikejutkan dengan perintah yang keluar dari corong-corong pembesar suara supaya mereka mengosongkan kampong mereka. Sebelum mereka mengetahui dan memahami apa yang berlaku, mereka telah dibunuh terlebih dahulu oleh kumpulan pengganas Yahudi Zionis dari kumpulan Stern, Irgun dan Haganah.
Pegawai-pegawai daripada Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa dan PBB yang datang ke tempat kejadian menyaksikan bagaimana rumah-rumah penduduk Deir Yassin telah dibakar, manakala yang cuba melarikan diri dari api yang menyala telah ditembak bertalu-talu. Dalam serangan ini, wanita-wanita yang hamil telah dirobek perutnya dengan pisau hidup-hidup. Selama dua hari peristiwa ini berlaku, 52 orang kanak-kanak telah disiksa lalu dibunuh di hadapan ibu mereka dan kepala-kepala mereka dipenggal selepas itu. Lebih daripada 60 orang wanita telah dibunuh dan anggota-anggota badan mereka telah dikerat-kerat.
Tidak puas dengan pembunuhan tersebut, pihak teroris Zionis ini telah mengumpulkan semua wanita dan remaja perempuan yang masih hidup di desa Deir Yassin, menanggalkan seluruh pakaian mereka lalu membaringkan mereka di atas kenderaan secara terbuka. Para teroris ini telah membawa mereka ke sekeliling kawasan perumahan yahudi di wilayah Baitul Maqdis di dalam keadaan tanpa seurat benang sebelum mereka semua dibunuh dengan muntahan peluru-peluru yang kejam.
Apa kata saksi tregedi Deir yassin yang terselamat ?
Diantara kata-kata saksi pelarian tragedi Deir Yassin yang sempat menyelamatkan diri termasuklah:-
Arafat Hijazi, salah seorang saksi yang masih hidup menceritakan,”Saya melihat seorang tentera Yahudi memegang saudara saya, Saliha al Halabi yang hamil Sembilan bulan. Dia meletakkan senapangnya di leher Saliha lalu memuntahkan peluru sehingga Saliha terbunuh. Tentera tersebut mengambil sebilah pisau lalu membelah perutnya sehingga terburai, kemudian mengeluarkan anak Saliha yang telah mati dengan pisau Nazinya yang mengerikan itu”.
Fahmy Zaidan, satu-satunya yang selamat daripada seluruh isi keluarganya dan berumur 12 tahun pada tragedi tersebut menceritakan mimpi ngerinya,” Pengganas Yahudi telah mengarahkan semua ahli keluargaku berdiri mengadap ke dinding. Mereka kemudiannya menembak semua ahli keluargaku satu persatu. Aku terselamat kerana aku sempat berlindung di kalangan ahli keluargaku yang dewasa. Mereka terus menembak sehinggakan sebutir peluru telah mengenai Qadriya, adik perempuanku yang berumur 4 tahun. Kemudian seorang demi seorang gugur termasuklah ayauku, ibuku, datuk dan nenekku, pak cik dan mak cik saudaraku serta anak-anak mereka”.
Jacques de Reynier, Ketua misi Pertubuhan Palang Merah ke Palestin pada 1948, yang melihat anggota-anggota mayat yang dipotong serta berselerakan berkata, “Keadaan yang ada sungguh mengerikan. Saya juga melihat orang-orang muda lelaki dan perempuan yang memegang senapang dan bom tangan. Tangan-tangan mereka masih berlumuran dengan darah. Saya melihat seorang wanita Yahudi yang kelihatan sebagai seorang penjenayah yang sangat kejam. Dia memperlihatkan darah-darah yang menitis dari kedua-dua tangannya seraya mengangkatnya dengan bangga seolah-olah dia sedang memegang dua piala kejuaraan”.
Angka korban yang besar
Tiada siapa yang pasti jumlah penduduk desa Deir Yassin yang terkorban dalam tragedi ini. Ada laporan yang menyatakan bahawa jumlah yang terkorban adalah seramai 254 orang termasuk kanak-kanak dan wanita serta orang-orang tua. Menurut laporan PBB, hanya 40 orang daripada kira-kira 400 orang penduduk desa ini yang sempat menyelamatkan diri sedangkan yang lainnya telah disembelih dan dibunuh dengan kejam.
Siapakah arkitek kepada tragedi ini?
Harus diperjelaskan bahawa para teroris yang melakukan pembunuhan beramai-ramai ini bukanlah anggota organisasi ekstrimis Yahudi yang bertindak bersendirian bahkan mereka telah mendapat arahan terus daripada pemerintah Israel.
Kumpulan pengganas Haganah (yang kemudiannya mejadi batalion tentera Israel), telah mengebom desa Deir Yassin menggunakan mortar manakala kumpulan Irgun dan kumpulan Stern menyerang dari jarak dekat. Semasa kejadian ini, David Ben-Gurion yang merupakan Perdana Menteri Israel yang pertama telah menentukan polisi kumpulan Haganah; manakala Menachem Begin yang merupakan Perdana Menteri Israel yang ke 6, telah mengetuai Irgun dan Titzhak Shamir yang merupakan Perdana Menteri Israel yang ke 7, adalah bekas ketua pengganas kumpulan Stern.
Menachem Begin telah menggambarkan operasi yang tidak berperikemanusaan ini sebagai salah satu contoh resmi betapa kejam dan brutalnya regim Israel dengan kata-kata,“Tragedi ini tidak hanya dibenarkan, malahan tidak akan wujud Negara Israel ini tanpa ‘kemenangan’ di Deir Yassin”.
Kesan Deir Yassin
Rejim Yahudi Zionis telah menjadikan serangan seperti itu untuk menghukum dan menzalimi rakyat Palestin dan mengusir mereka dari bumi Palestin sehinggalah pendatang-pendatang haram Yahudi mempunyai tempat dan masa depan untuk hidup di Palestin. Israel Eldad, seorang pemimpin Zionis yang terkenal pernah berkata,”Jika tidak ada Deir Yassin, setengah juta orang Arab akan tetap tinggal di Negara Israel (pada tahun 1948). Dengan demikian, Negara Israel tidak akan pernah wujud”.
6 dekad selepas Deir Yassin
Kini telah 64 tahun berlalunya tragedi hitam Deir Yassin. Tragedi ini hanyalah satu daripada ratusan tentetan tragedi yang berlaku kepada rakyat Palestin. Negara Palestin yang dahulunya aman dan rakyatnya yang telah dinaungi keadilan terus dijajah oleh rejim Yahudi Zionis. Penangkapan, penyiksaan, penyembelihan dan pembunuhan terus berlaku tanpa mendapat perhatian yang selayaknya dari media antarabangsa. Konspirasi senyap lagi bisu di kalangan mereka juga telah menular di kalangan media Arab serta dunia Islam sekeliannya.
Sudah sampai masanya untuk kita mengambil berat isu dan permasalahan umat ini agar terbelalah maruah Palestin dan umat Islam di seluruh dunia.
Persoalan yang timbul, adakah kita rakyat Malaysia akan bersimpati dan prihatin dengan isu terbesar umat Islam di abad ini. Apalah sangat sumbangan yang telah kita berikan jika dibandingkan dengan saudara kita di Palestin yang telah mengorbankan keringat dan keselesaan, jiwa dan kehidupan demi mempertahankan maruah umat di bumi mulia ini.
Janganlah kita biarkan peristiwa demi peristiwa yang berlaku ini sekadar menjadi lembaran sejarah tetapi marilah kita bersama melakari sejarah baru ketika umat amat menantikan fasa kebangkitan dan kegemilangan. Jangan tengok kiri atau kanan, jangan tanya orang lain tetapi tanya diri kita sendiri. Apa yang telah dan yang akan aku sumbangkan?
Semoga al Aqsa dan Palestin terus terbela !
Salam perjuangan,
Dr.zsumber sekunder : cari.com