Wednesday, January 25, 2012

masalah haid dan nifas


MasyaAllah.. lama sangat aku mencari makna haid dan nifas ni.. apa permasalahan.. macammana nak tentukan.. macam mana dengan segi hukum dan sebagainya... dalam hati aku terdekit... adakah hakikatnya aku TERkena anemia? atau aku memang ada ketumbuhan? atau aku ada permasalahan dalaman lain? sekali aku terjumpa dengan ini... subhanAllah...  amat berguna.. dengan keyakinan.. dan kepadatan serta ketepatan berserta dalil dan hadis.. buat mereka.. yang mungkin mengalami seperti aku... period tak berhenti selama beberapa bulan.. pendarahan teruk.. atau apa sahaja.. aku berharap perkongsian ilmu yang aku temui ini.. dapat membantu kalian juga...

tahniah tidak terhingga kepada hafiz.firdaus.com


HAID DAN ISTIHADAH


Istihadah (الاستحاضة) ialah darah yang keluar secara berterusan bagi seorang wanita. Ia keluar tanpa terputus-putus atau mungkin terputus sekejap seperti sehari-dua dalam sebulan.
Dalil bagi kes pertama, yakni darah keluar tanpa terputus-putus ialah sebagaimana aduan Fathimah binti Abi Hubaisy radhiallahu 'anha kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sebagaimana di dalam Shahih al-Bukhari: “Ya Rasulullah! Sesungguhnya aku tidak suci” manakala dalam satu riwayat yang lain: “Aku didatangi istihadah maka aku tidak suci.”
Dalil bagi kes kedua, yakni darah keluar dengan terputus sekejap ialah kisah Himnah binti Jahsy radhiallahu 'anha yang datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam lalu berkata: “Ya Rasulullah, sesungguhnya aku didatangi darah istihadah yang banyak.” [Musnad Ahmad, Sunan Abu Daud dan Sunan al-Tirmizi dan beliau (al-Tirmizi) mensahihkannya.]

  Terdapat tiga cara bagi membezakan antara darah haid dan istihadah:

Pertama:
Wanita yang memiliki masa haid yang tetap (tempoh dan putarannya). Maka baginya hukum haid dalam masa yang tetap tersebut dan hukum istihadah bagi waktu selainnya.
Contohnya ialah seorang wanita yang lazimnya didatangi haid selama enam hari bermula awal setiap bulan. Kemudian (pada satu bulan) dia mengalami pendarahan yang berterusan. Maka pendarahan enam hari yang pertama bermula dari awal bulan dikira sebagai haid manakala hari-hari selebihnya dikira sebagai istihadah.

‘A’isyah radhiallahu ‘anha menerangkan bahawa Fathimah binti Abi Hubaisy radhiallahu ‘anha pernah bertanya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:
“Sesungguhnya aku didatangi istihadah, maka aku tidak suci. Adakah aku perlu meninggalkan solat?”. Rasulullah menjawab: “Tidak, sesungguhnya itu ialah ‘irq (penyakit). Tinggalkan solat pada kadar haid yang kebiasaan bagi kamu, kemudian hendaklah kamu mandi dan dirikan solat.” [Shahih al-Bukhari – no: 325 (Kitab al-Haid)]

Hal yang sama pernah berlaku kepada Umm Habibah binti Jahsy radhiallahu ‘anha dan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada beliau:
“Duduklah (dalam keadaan haid) sekadar mana yang pernah kamu alami dari hari-hari haid kamu (yang biasa), kemudian hendaklah kamu mandi dan solat”. [Shahih Muslim – no: 334 (Kitab al-Haid)]

Kesimpulannya, bagi wanita yang memiliki masa haid yang tetap (tempoh dan putarannya), hendaklah dia mengira masa haidnya mengikut kebiasaan. Jika ada pendarahan pada hari-hari seterusnya, hendaklah dia mandi dan solat mengikut ukuran masa haidnya yang biasa. Tidak perlu diberi perhatian kepada pendarahan pada hari-hari seterusnya kerana itu adalah istihadah.

Kedua:
Wanita yang tidak memiliki masa haid yang tetap atau diketahui (tempoh dan putarannya). Contohnnya darah yang keluar secara berterusan sejak awal. Maka baginya dibezakan antara darah haid dan darah istihadah dengan memerhatikan sifat-sifat darah tersebut. Darah yang berwarna hitam (merah kehitaman) dan/atau pekat dan/atau berbau, ia adalah darah haid. Selainnya adalah darah istihadah.
Sebagai contoh, seorang wanita yang mengalami pendarahan secara berterusan. Akan tetapi pada hari kesepuluh kelihatan perbezaan sifat darah:
q                Sehingga hari kesepuluh darah berwarna hitam (merah kehitaman) manakala selepas itu ia berwarna merah. Maka darah yang berwarna hitam adalah haid, darah yang berwarna merah adalah istihadah.
q                Sehingga hari kesepuluh darah bersifat pekat manakala selepas itu menjadi cair. Maka darah yang pekat adalah haid, darah yang cair adalah istihadah.
q                Sehingga hari kesepuluh darah memiliki bau manakala selepas itu tiada lagi bau. Maka darah yang berbau adalah haid, darah yang tidak berbau adalah istihadah.

Diriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada Fathimah binti Abi Hubaisy radhiallahu ‘anha:
 “Apabila darah itu adalah haid maka sesungguhnya ia hitam (lagi) dikenali, justeru hendaklah kamu menahan dari melakukan solat. Jika ia adalah (darah) selain itu maka hendaklah kamu berwudhu’ dan mendirikan solat kerana sesungguhnya ia adalah (darah) penyakit.” [Sunan Abu Daud – no: 247 (Kitab al-Thaharah) dan Sunan al-Nasa’i dengan disahihkan oleh Ibn Hibban dan al-Hakim]
Hadis di atas memiliki perbincangan dari sudut sanad dan matannya, akan tetapi para ilmuan rahimahumullah telah beramal dengannya. Bahkan ia adalah lebih utama daripada membiarkan persoalan ini kepada adat kebiasaan wanita.[1]

Ketiga:
Wanita yang tidak memiliki masa (tempoh dan putaran) haid yang tetap dan tidak juga memiliki sifat-sifat darah yang dapat dibezakan antara haid dan istihadah. Maka baginya masa haid diukur berdasarkan kebiasaan wanita, waktu selebihnya dikira sebagai istihadah.
Sebagai contoh, wanita yang menghadapi kes ketiga ini melihat darah keluar secara berterusan bermula pada hari Khamis yang pertama dalam bulan tersebut. Maka hendaklah dia melihat kebiasaan para wanita lain yang menghampirinya dan menjadikan tempoh haid mereka sebagai ukuran ke atas dirinya. Jika pada kebiasaannya mereka didatangi haid selama enam atau tujuh hari, maka demikianlah juga ukuran ke atas dirinya. Oleh itu enam atau tujuh hari yang pertama pendarahan, bermula daripada hari Khamis, dianggap sebagai haid. Hari-hari seterusnya dianggap sebagai istihadah.

Hadis berikut menjadi rujukan dalam kes ketiga ini. Himnah binti Jahsy radhiallahu ‘anha pernah bertanya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:
“Ya Rasulullah! Sesungguhnya saya seorang wanita yang didatangi istihadah yang amat banyak, apakah pandangan engkau berkenaannya? Sesungguhnya ia menegah aku daripada mendirikan solat dan puasa.”
Rasulullah menjawab: “Aku akan terangkan untuk kamu (cara menggunakan) al-Kursuf (kapas yang diletakkan di faraj), sesungguhnya ia dapat menghilangkan darah.”
Himnah berkata: “Ia (darah saya) lebih banyak dari demikian itu”.
Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya ia (pendarahan kamu) adalah hentakan dari hentakan-hentakan syaitan, maka (apabila) kamu didatangi haid selama enam atau tujuh hari pada ilmu Allah Ta’ala, hendaklah kamu mandi apabila kamu lihat bahawa kamu telah suci (dari darah haid), maka hendaklah kamu solat pada pada dua puluh tiga malam atau dua puluh empat malam dan siangnya dan hendaklah kamu berpuasa.” [Sunan Abu Daud – no: 248 (Kitab al-Thaharah) dan Sunan al-Tirmizi – no: 118 (Kitab al-Thaharah) dan berkata al-Tirmizi, hadis ini hasan sahih]

Sabda Rasulullah: “Enam atau tujuh hari” bukanlah penetapan tetapi ijtihad. Oleh itu hendaklah setiap wanita yang menghadapi kes ketiga ini berijtihad akan satu tempoh haid yang sesuai baginya. Ijtihad dibuat dengan merujuk kepada tempoh haid yang lazim dihadapi oleh para wanita lain yang menghampiri dirinya, seperti daripada keluarga atau adik beradik yang sama, rakan-rakan yang sebaya umurnya dan lain-lain lagi.[2]
Demikian tiga cara yang paling lazim bagi membezakan antara darah haid dan istihadah. Sebagai penjelasan tambahan, kadang-kala berlaku pendarahan yang disalah anggap sebagai istihadah. Kesalahan ini boleh berlaku dalam dua kes:
 
Pertama:
Wanita yang mengetahui dengan jelas bahawa dia tidak akan didatangi haid lagi, seperti setelah melakukan pembedahan yang melibatkan pemotongan atau ikatan rahim. Maka baginya, yang mengalir keluar bukanlah istihadah tetapi al-Sufrah (cecair kekuningan) dan al-Kudrah (cecair kekeruhan antara kuning dan hitam) atau basahan. Maka hendaklah dia mendirikan solat dan puasa, serta boleh bersetubuh dengan suaminya. Dia tidak diwajibkan mandi (mandi wajib) kerana darah yang keluar tersebut.
Akan tetapi hendaklah dia membasuh faraj serta mengikatnya dengan kain[3] supaya dapat mencegah darah daripada mengalir keluar. Bagi setiap solat fardhu, hendaklah dia berwudhu’ sesudah masuk waktu kemudian terus bersolat. Bagi setiap solat sunat, hendaklah dia berwudhu’ apabila sahaja hendak mendirikannya.[4]
Kedua:
Wanita yang tidak tahu secara jelas sama ada dia akan didatangi haid atau tidak. Maka baginya, pendarahan yang berlaku dianggap sebagai haid dan istihadah, dibezakan dengan tiga cara yang telah disebut di atas.

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda kepada Fathimah binti Abi Hubaisy:
 “Sesungguhnya yang demikian itu ialah ‘irq (penyakit) bukanlah darah haid maka apabila datang haid maka hendaklah kamu meninggalkan solat.” [Shahih al-Bukhari – no: 306 (Kitab al-Haid)]
Sabda Rasulullah: “…Maka apabila datang haid…” menjadi petunjuk yang membezakan antara haid dan istihadah. Maka bagi seorang wanita yang mungkin baginya untuk datang haid, maka hendaklah dia membezakan antara haid dan istihadah sepertimana tiga cara yang disebut di atas. Bagi wanita yang tidak mungkin didatangi haid maka yang wujud hanyalah ‘Irq (penyakit) dalam apa jua keadaan sekalipun.
Hukum-Hukum Istihadah.
Sebelum ini dalam Bab 4 kita telah bahas hukum-hukum yang diwajibkan ke atas wanita yang sedang haid. Kini kita akan bahas pula hukum-hukum yang diwajibkan ke atas wanita yang beristihadah. Apabila seorang wanita telah memastikan bahawa dia sedang mengalami pendarahan istihadah dan bukan haid, maka hukum-hukum yang diwajibkan ke atasnya adalah sama sepertimana wanita yang suci kecuali dalam tiga perkara berikut:
 
Pertama:
Wanita yang beristihadah wajib berwudhu’ setiap kali hendak solat. Ini berdasarkan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kepada Fathimah binti Abi Hubaisy radhiallahu 'anha di dalam Shahih al-Bukhari – no: 228: “Kemudian hendaklah kamu berwudhu’ pada setiap solat.” Hadis ini memberi makna bahawa dia tidak berwudhu’ untuk solat yang berwaktu kecuali selepas masuk waktunya. Adapun bagi solat yang tidak berwaktu (solat sunat) maka dia berwudhu’ ketika hendak melaksanakannya.
 
Kedua:
Apabila wanita yang beristihadah hendak berwudhu’, hendaklah dia membasuh kesan darah dan mengikat farajnya dengan cebisan kain yang dilapik dengan kapas supaya dapat menahan darah.[5] Ini berdasarkan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kepada Himnah radhiallahu 'anha:
 “Aku akan terangkan untuk kamu (cara menggunakan) al-Kursuf (kapas yang diletakkan di faraj), sesungguhnya ia dapat menghilangkan darah.”
Himnah berkata: “Ia (darah saya) lebih banyak dari demikian itu”.
Rasulullah bersabda: “Maka hendaklah kamu mengekangnya (mengikatnya)….” [Sunan al-Tirmizi – no: 118 (Kitab al-Thaharah) dan beliau berkata: Hadis ini hasan sahih]

Apa yang keluar (apa-apa pendarahan) selepas itu tidaklah memudaratkan (tidak membatalkan wudhu’) berdasarkan hadis berikut riwayat Ahmad dan Ibn Majah:
 “Wahai Rasulullah, Sesungguhnya aku seorang wanita yang mengalami istihadah sehingga aku tidak suci, apakah aku patut meninggalkan solat? Tidak, hendaklah kamu jauhi solat pada hari-hari haidmu (sahaja) kemudian hendaklah kamu mandi dan berwudhu’ untuk setiap solat kemudian dirikanlah solat walaupun darah menitis jatuh ke atas tikar.”[6] [Musnad Ahmad – no: 25681 dan disahihkan oleh Syu‘aib al-Arnauth]
 
Ketiga:
Bersetubuh, maka para ilmuan berselisih pendapat mengenai kebolehannya. Pendapat yang sahih adalah ianya harus (dibolehkan) tanpa sekatan berdasarkan sebab-sebab berikut:
  1. Merupakan satu kelaziman bagi para wanita pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengalami istihadah. Akan tetapi Allah dan Rasul-Nya tidak pernah menegah para suami daripada menyetubuhi isteri mereka.
  2. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu. [al-Baqarah 2:222] Ayat ini menjadi dalil bahawa larangan bersetubuh hanyalah ke atas isteri yang sedang haid, tidak selain itu.
  1. Jika diharuskan solat bagi wanita yang beristihadah, maka sudah tentu diharuskan juga bersetubuh kerana bersetubuh adalah sesuatu yang lebih kecil berbanding solat.
Pendapat yang melarang bersetubuh mengqiyaskan wanita yang beristiadhah dengan wanita yang haid. Ini adalah qiyas yang tidak benar kerana wanita istihadah dan wanita haid adalah dua kes yang saling berlainan.



[1]           Maksudnya, jika persoalan ini dibiarkan kepada adat kebiasaan wanita, ia akan terdedah kepada pelbagai pendapat dan hukum yang tidak benar. Justeru lebih baik menggunakan hadis di atas sebagai rujukan. Sekalipun ia memiliki perselisihan pendapat dari sudut kekuatannya, maksudnya tetap selari dengan lain-lain petunjuk syari‘at sehingga menjadi amalan para ilmuan sejak dari dahulu. (penyunting)
[2]           “Para wanita lain” ini hendaklah memiliki tempoh dan putaran haid yang normal. Sebagai contoh, jika seorang wanita menghadapi kes ketiga ini, hendaklah dia merujuk kepada tempoh dan putaran haid yang lazim bagi adik beradiknya yang lain. Jika mereka didatangi haid selama 10 hari setiap satu bulan, maka tempoh 10 hari tersebut menjadi ukuran bagi dirinya juga. Maka bagi pendarahan berterusan yang dihadapinya, 10 hari setiap bulan dianggap sebagai haid manakala selebihnya dianggap istihadah. (penyunting)
[3]           Atau tuala wanita (penyunting).
[4]           Maksudnya, satu wudhu’ bagi satu solat. Hukum ini khusus sebagai satu kemudahan (rukhsah) untuk kes ini sahaja supaya apa-apa yang mengalir keluar dari faraj tidak dikira membatalkan solat. Justeru tidak boleh menggunakan wudhu’ yang sama untuk dua solat, seperti menggunakan wudhu’ yang sama untuk menunaikan solat Maghrib dan “menyimpannya” untuk solat Isya’ kemudian. Juga tidak boleh berwudhu’ jauh sebelum waktu solat, seperti mengambil wudhu’ pada pukul 6 petang untuk solat Maghrib pada pukul 7.30 malam. (penyunting)
[5]           Atau dengan memakai tuala wanita. (penyunting)
[6]           Musnad Ahmad – no: 25681 dan disahihkan oleh Syaikh Syu‘aib al-Arnauth. (penyunting)



 Perbezaan masa haid.

Pertama
Kadangkala berlaku perbezaan masa haid seorang wanita. Perbezaan ini wujud dalam dua bentuk:
  1. Tempoh mengalirnya bertambah atau berkurang daripada kebiasaan. Contohnya ialah seorang wanita yang kebiasaannya mengalami haid selama enam hari, tetapi berlarutan selama tujuh hari. Atau seorang wanita yang kebiasaannya mengalami haid selama tujuh hari, lalu dia suci dalam masa enam hari sahaja.[1]
  2. Permulaan masa mengalirnya (putaran haid) menjadi awal atau lambat daripada kebiasaan. Contohnya seorang wanita yang kebiasaannya datang haid pada akhir bulan, lalu dia melihat haid hanya datang pada awal bulan. Atau kebiasaannya datang haid pada awal bulan lalu dia hanya melihatnya di akhir bulan.
Sesungguhnya para ilmuan berbeza pendapat dalam dua kes di atas. Namun pendapat yang terkuat dan benar ialah apabila seorang wanita melihat darah mengalir keluar bererti dia haid dan apabila darah berhenti mengalir bererti dia suci (tidak haid). Penentuan ini tidak disyaratkan oleh perbezaan masa sama ada lebih lama atau singkat, sama ada lebih awal atau lewat. Dalil-dalil bagi hal ini telah dikemukakan dalam bab yang sebelumnya. Ini merupakan mazhab Imam al-Syafi’e rahimahullah dan dipilih oleh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah serta dikuatkan lagi oleh Imam Ibn Qudamah di dalam kitabnya al-Mughni, jld. 1, ms. 353:
Jika sesuatu perkara itu berlaku secara lazim dan memerlukan penjelasan (hukum-hukumnya), pasti akan dijelaskan (hukum-hukumnya) oleh Nabi shalallahu 'alaihi wasallam tanpa melengah-lengahkannya. Ini kerana sesuatu yang memerlukan penjelasan tidak boleh dilengah-lengahkan.
Para isteri Rasulullah dan selainnya memerlukan penjelasan akan persoalan ini pada setiap masa dan baginda tidak pernah lalai daripada memberikan penjelasan tentangnya.
Tidak pernah lahir daripada baginda sesuatu yang wujud secara lazim melainkan diikuti dengan penjelasannya, kecuali dalam persoalan darah istihadah.[2]

Kedua: Cecair yang kekuningan atau kekeruhan.
Kadangkala bagi seorang wanita mengalir keluar daripadanya cecair (discharge) yang:
  1. Berwarna kekuningan seperti air yang keluar akibat luka. Ini dikenali sebagai Sufrah.
  2. Berwarna kekeruhan antara kuning dan hitam. Ini dikenali sebagai Kudrah.
Sufrah atau Kudrah, jika ia mengalir keluar ketika sedang haid atau bersambungan di akhir masa haid, sebelum suci, maka ia dikategorikan sebagai haid dan diwajibkan ke atasnya hukum-hukum yang bersamaan dengan darah haid biasa.
Jika ia mengalir keluar secara terpisah daripada masa haid, yakni dalam masa suci, maka ia tidak dikategorikan sebagai haid.

Dalilnya adalah kenyataan Umm Athiah radhiallahu 'anha:
“Kami tidak mengira (cecair yang berwarna) kekeruhan  dan kekuningan (jika ia keluar) selepas suci sebagai apa-apa (yakni bukan haid).” [Sunan Abu Daud – no: 246 (Kitab al-Thaharah) dengan sanad yang sahih][3]
Imam al-Bukhari rahimahullah menyusun hadis ini dalam kitab sahihnya di bawah bab: Bab al-Sufrah dan al-Kudrah pada hari-hari selain haid. Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah di dalam kitabnya Fath al-Bari berkata:
al-Bukhari mengisyaratkan dengan demikian bertujuan menyelaraskan antara hadith ‘A’isyah (yang bermaksud): “sehingga kamu semua melihat sesuatu seperti benang putih”  dengan hadis Umm ‘Athiah di atas.
Hadis ‘A’isyah merujuk kepada seseorang yang melihat al-Sufrah dan al-Kudrah pada hari-hari haid, manakala hadis Umm ‘Athiah merujuk kepada hari-hari selain haid.

Hadith ‘A’isyah radhiallahu 'anha yang dimaksudkan adalah apa yang disebut oleh Imam al-Bukhari di dalam kitab sahihnya:
Sesungguhnya para wanita telah mengutus kepada ‘A’isyah bekas yang ada padanya kapas yang padanya ada al-Sufrah, maka ‘A’isyah menjawab:
“Jangan kamu semua segera (bersuci) sehingga kamu semua melihat sesuatu seperti benang putih (yang keluar selepas berhenti darah bercampur al-Sufrah tersebut).”
Ketiga: Haid yang terputus-putus.
Kadangkala juga seorang wanita menghadapi haid yang terputus-putus alirannya, di mana sehari dia didatangi haid manakala hari yang seterusnya tidak ada haid (selang sehari). Permasalahan ini terbahagi kepada dua kes yang berlainan:
  1. Jika ia berlaku secara berterusan, maka ia adalah darah istihadah dan diwajibkan ke atasnya hukum-hukum istihadah. (hukum-hukumnya akan dibahas dalam Bab 5 insya-Allah)
  2. Jika ia tidak berlaku secara berterusan, bahkan hanya sekali-sekala sehingga ada tempoh waktu suci yang jelas baginya. Bagi kes kedua ini, para ilmuan berbeza pendapat: Adakah sehari yang tidak keluar darah itu dikira suci atau dikira haid? Terhadap persoalan ini terdapat tiga pendapat yang dianggap kuat:[4]

Pendapat Pertama:
Ia dianggap sebagai “hari haid” dan diwajibkan ke atasnya hukum-hukum yang bersamaan dengan hari haid biasa.
Ini merupakan satu pendapat yang benar antara dua pendapat Imam al-Syafi’e[5] rahimahullah dan menjadi pilihan Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan Mazhab Abu Hanifah. Sebab-sebabnya adalah seperti berikut:
  1. Selagi mana tidak kelihatan sesuatu seumpama benang putih pada satu hari yang tidak didatangi haid, ia tetap dianggap sebagai hari haid.
  2. Jika dikatakan satu hari yang tidak didatangi haid sebagai hari suci nescaya hari sebelum dan selepasnya adalah hari haid. Hal seperti ini tidak pernah diperkatakan orang.
  3. Jika dianggap satu hari yang tidak didatangi haid sebagai hari suci nescaya iddah al-Quru’ akan selesai dalam masa lima hari sahaja.[6]
  4. Jika dijadikan “satu hari” yang tidak didatangi haid sebagai hari suci pasti ia akan menimbulkan kesempitan dan kesusahan kerana wajib mandi pada setiap dua hari. Sesungguhnya kesempitan dan kesusahan adalah sesuatu yang dinafikan dalam syari’at ini, dan segala puji bagi Allah.

Pendapat Kedua:
Dalam tempoh masa selang sehari tersebut, jika darah mengalir keluar maka dianggap sebagai hari haid, jika tidak maka dianggap sebagai hari suci. Kecuali jika hal ini berlaku melebihi daripada bilangan hari-hari kebiasaan haid, maka ia dianggap sebagai darah istihadah.
Ini adalah pendapat yang masyhur dalam mazhab Hanbali.

Pendapat Ketiga:
Pendapat ketiga diberikan oleh Imam Ibn Qudamah rahimahullah dan ia merupakan jalan pertengahan antara dua pendapat yang pertama di atas. Beliau menulis di dalam kitabnya al-Mughni, jld. 1, ms. 355:
(Bagi kes darah haid yang terputus-putus selang sehari), apabila ia berhenti mengalir dan belum genap satu hari (daripada saat berhentinya), seorang wanita itu tidak dikira suci. Ini berdasarkan riwayat yang telah kita sebut dalam perbahasan darah nifas, di mana ia tidak mengambil kira darah yang berhenti dalam tempoh yang belum genap sehari. Riwayat ini adalah sahih, insya-Allah.
Darah yang sekejap ia mengalir dan sekejap ia berhenti akan menyulitkan orang kerana perlu kerap kali mengulangi mandi wajib. Ini menyalahi firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
Dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama. [al-Hajj 22:78]
Maka atas ini tidaklah dikira suci darah yang berhenti mengalir keluar dalam tempoh yang belum genap sehari. Kecuali jika kelihatannya tandanya yang jelas, seperti ia kering di akhir hari secara kebiasaannya atau ia melihat keluar (sesuatu seumpama) benang putih (barulah dikira suci).[7]
 Keempat: Darah haid yang tidak mengalir.
Jika darah haid tidak mengalir, seperti menjadi kering atau hanya lembab, maka hukumnya terbahagi kepada dua kes:
  1. Jika ia berlaku ketika sedang haid atau atau bersambungan di akhir masa haid, sebelum suci, maka ia dikategorikan sebagai haid (dan diwajibkan ke atasnya hukum-hukum yang bersamaan dengan darah haid biasa).
  2. Jika ia berlaku selepas haid, yakni dalam masa suci, maka ia tidak dikategorikan sebagai haid.
Hukum bagi kedua-dua kes ini adalah sebagaimana kes cecair kekuningan atau kekeruhan yang telah dibahas di atas.
 



[1]           Atau  boleh sahaja berbeza-beza sehingga menjadi lebih lama atau lebih singkat antara satu masa haid dengan masa haid yang lain (penyunting).
[2]           Maksudnya, persoalan haid adalah persoalan yang lazim bagi para isteri dan wanita di zaman baginda. Persoalan-persoalan ini memerlukan penjelasan yang terperinci daripada Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam. Alhamdulillah, baginda telah menjelaskannya secara terperinci dan telah sampai kepada kita dalam kitab-kitab hadis.
Justeru seandainya wujud sesuatu persoalan dalam bab haid ini yang tidak diperjelaskan oleh baginda, bererti ia sememangnya tidak memerlukan penjelasan. Kes perbezaan masa haid adalah antara perkara yang lazim berlaku yang tidak diperjelaskan oleh Rasulullah, bererti ia tidak memiliki apa-apa hukum khusus yang berbeza dengan yang umum.
Hukum umum yang dimaksudkan adalah: Apabila seorang wanita melihat darah mengalir keluar bererti dia haid dan apabila darah berhenti mengalir bererti dia suci (tidak haid) tanpa dipengaruhi oleh perbezaan masanya. (penyunting)
[3]           Juga disahihkan oleh Syaikh al-Albani rahimahullah dalam Shahih Sunan Abu Daud – no: 119. (penyunting)
[4]           Di sini Syaikh al-Utsaimin rahimahullah mengemukakan 3 pendapat tanpa menerangkan yang manakah yang lebih kuat atau  benar. Ini bererti di sisi beliau ketiga-tiga pendapat ini adalah sama-sama benar. Para pembaca boleh mengamalkan salah satu daripadanya. Setiap satu daripadanya adalah benar dan tidaklah ia saling membatal antara satu sama lain. (penyunting)
[5]           Ini kerana beliau memiliki dua pendapat: Qaul Qadim dan Qaul Jadid. (penyunting)
[6]           Yakni tempoh iddah bagi seorang wanita yang diceraikan ialah tiga kali suci. Jika dijadikan tempoh masa bagi haid dan suci ialah selang sehari, nescaya waktu iddah ini akan berakhir dalam masa lima hari sahaja. (penyunting)
[7]           Maksudnya seorang wanita jangan menganggap dirinya telah suci daripada haid melainkan dengan dua petunjuk:
1.       Haid sudah berhenti dan wujud tanda-tanda yang jelas bahawa tempoh haid sudah berakhir. Ini lazimnya merujuk kepada kes haid yang normal.
2.       Haid sudah berhenti akan tetapi tidak wujud tanda yang jelas bahawa tempoh haid akan berakhir. Malah wujud kemungkinan ia akan mengalir semula. Ini merujuk kepada kes haid yang terputus-putus atau selang sehari. Maka tunggulah sehingga genap sehari, jika tiada lagi darah mengalir pada esoknya maka barulah pasti tempoh haid sudah berakhir. (penyunting)



7 Hukum Penggunaan Ubat-Ubatan Yang Menegah Haid Atau Mendatangkannya Dan Yang Menegah Kehamilan Atau Menggugurkannya.

Pertama: Ubat-Ubatan Yang Menegah Haid.
Diharuskan menggunakan ubat-ubatan yang menegah haid dengan dua syarat:
Pertama:
Tidak berlaku mudarat ke atas dirinya. Jika mengakibatkan mudarat maka ia diharamkan berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan. [al-Baqarah 2:195]
Dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu. [al-Nisa’ 4:29]
 Kedua:
Penggunaannya adalah dengan izin suami. Berikut adalah contoh dua kes yang memerlukan izin atau pengetahuan suami:
1.      Seorang isteri yang diceraikan oleh suaminya lalu dia mengambil ubat penegah haid supaya tempoh iddahnya berpanjangan. Dengan itu berpanjanganlah tempoh pembayaran nafkah cerai oleh suaminya kepadanya.
2.      Menegah haid untuk menegah kehamilan. Walaubagaimanapun yang lebih utama (bagi suami isteri) ialah tidak melakukan hal ini kecuali untuk tujuan yang baik. Ini kerana putaran haid yang fitrah (semula jadi) adalah penting demi kesihatan yang normal.
Kedua: Ubat-Ubatan Yang Mendatangkan Haid.
Diharuskan menggunakan ubat-ubatan yang mendatangkan haid dengan syarat:
Pertama:
Bukan sebagai helah untuk meninggalkan ibadah seperti tidak solat dan berbuka pada bulan Ramadhan.
Kedua:
Mendapat izin suami kerana sengaja mendatangkan haid akan menggugurkan hak suami dari dua sudut:
1.      Menghalangnya daripada bersetubuh dengan isterinya.
2.      Menghalangnya untuk merujuk semula dalam kes penceraian. Iaitu isteri sengaja mendatangkan haid supaya tempoh iddah berlalu dengan cepat sehingga seandainya suami ingin merujuk semula, dia tidak sempat untuk berbuat demikian.
 
Ketiga: Ubat-Ubatan Yang Menegah Kehamilan.
Terdapat dua jenis ubat-ubatan yang menegah kehamilan:
Pertama:
Ubat yang menegah kehamilan secara tetap dan berterusan. Ini tidak diharuskan kerana ia mengurangkan keturunan. Tindakan ini menyalahi tujuan Islam yang mengutamakan umat yang ramai. Lebih dari itu seandainya dia kehilangan anak yang sedia ada masa kini, dia akan tinggal berseorangan sehingga ke hari tua (tanpa penjagaan).
Kedua:
Ubat yang menegah kehamilan untuk sementara waktu. Ini diharuskan dengan syarat mendapat keizinan suami dan tidak memudaratkan kesihatan. Contoh penggunaannya ialah wanita yang kerap hamil dan dia ingin merancang kehamilannya pada kadar sekali dalam setiap dua tahun.
Dalil kebolehan ini tindakan para sahabat radhiallahu 'anhum di zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang mempraktikkan al-‘Azal terhadap para isteri mereka supaya mereka (para isteri) tidak hamil. Tindakan ini tidak ditegah oleh Rasulullah. al-‘Azal ialah tindakan seorang suami yang apabila bersetubuh dengan isterinya, dia mengeluarkan alat kelaminnya dari faraj isterinya di saat hendak keluar air mani.[1]
 
Keempat: Ubat-Ubatan yang Menggugurkan Kandungan.
Menggugurkan kandungan memiliki dua tujuan:
Pertama:
Bertujuan menghapuskan kandungan. Maka hukumnya terbahagi dua:
1.      Jika sudah ditiup ruh pada kandungan maka tanpa ragu lagi hukumnya ialah haram untuk menggugurkannya. Ia termasuk dalam kategori membunuh tanpa hak yang diharamkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah serta kesepakatan umat Islam.
2.      Jika belum ditiup ruh maka wujud perselisihan pendapat sama ada harus atau tidak untuk menggugurkan kandungan. Sebahagian mengharuskannya, sebahagian menegahnya. Sebahagian lain berkata: “Harus selagi mana belum terbentuk segumpal darah (sebelum 40 hari)” manakala sebahagian lagi berkata: “Harus selagi mana pada kandungan belum terbentuk apa yang berupa manusia.”
Pendapat yang dipilih ialah harus menggugurkan kandungan jika bersebab seperti sakit, tidak dapat menanggung kehamilan dan sebagainya. Akan tetapi jika pada kandungan sudah jelas terbentuk apa yang berupa manusia, maka ditegah daripada menggugurkannya.[2] Allah yang lebih mengetahui.
Kedua:
Bertujuan mengeluarkan kandungan demi sesuatu manfaat. Ini lazimnya berlaku setelah genap tempoh kehamilan atau menghampirinya. Ia diharuskan selagi mana tidak memudaratkan ibu dan anak serta tidak memerlukan pembedahan. Jika memerlukan pembedahan maka ia terbahagi kepada empat kes:
1.      Ibu hidup, anak hidup. Pembedahan ditegah kecuali atas dasar darurat seperti kesukaran ibu untuk melahirkan anak secara fitrah. Pembedahan ditegah kerana “badan” adalah satu amanah kepada manusia yang tidak boleh diapa-apakan kecuali atas pertimbangan untuk mencapai kemaslahatan yang lebih besar.[3] Lebih dari itu pembedahan hanya diharuskan dalam suasana darurat kerana betapa banyak pembedahan yang pada awalnya disangka tiada mudarat tetapi kemudian berakhir dengan mudarat.
2.      Ibu mati, anak mati. Tidak harus melakukan pembedahan kerana tidak ada apa-apa faedah.
3.      Ibu hidup, anak mati. Harus melakukan pembedahan supaya anak dapat dikeluarkan demi memelihara ibu daripada apa-apa kemudaratan.
4.      Ibu mati, anak hidup. Dalam kes ini diperhatikan: Jika tidak wujud kemungkinan untuk anak hidup maka tidak harus melakukan pembedahan. Jika wujud kemungkinan untuk anak hidup maka ia seterusnya terbahagi kepada dua :
                               I.      Jika anak sudah keluar sebahagian maka diharuskan pembedahan untuk mengeluarkan sebahagian yang tertinggal.
                             II.      Jika anak belum keluar, maka di sini terdapat perselisihan pendapat. Pendapat Pertama menegah daripada melakukan pembedahan untuk mengeluarkan anak kerana ia mencacatkan mayat (mayat ibu). Ini adalah pendapat para sahabat kami rahimahumullah.[4] Pendapat Kedua mengharuskan pembedahan untuk mengeluarkan anak. Ini adalah pendapat Imam Ibn Hubairah rahimahullah dalam kitabnya al-Inshaf.
Saya berkata, yang benar adalah Pendapat Kedua kerana melakukan pembedahan di zaman kita sekarang ini bukanlah sesuatu yang mencacatkan mayat kerana kesan pembedahan dapat dijahit kembali. Yang penting, menyelamatkan orang yang hidup (anak dalam kandungan) adalah lebih utama daripada menghormati orang yang meninggal dunia (ibu yang mati). Bahkan menyelamatkan yang maksum daripada kemusnahan adalah wajib hukumnya. Anak yang masih hidup di dalam kandungan ibu yang meninggal dunia adalah insan yang maksum sehingga wajib menyelamatkannya. Allah yang lebih mengetahui.
Peringatan
Dalam keadaan-keadaan yang harus untuk menggugurkan kandungan sebagaimana yang dibahas dalam bab ini, ia terlebih dahulu wajib mendapat izin daripada pihak suami sebagai orang yang memiliki kandungan tersebut.



[1]           Lebih lanjut tentang al-‘Azal, lihat buku penyunting yang berjudul Kaedah-Kaedah Memahami Hadis-Hadis yang Saling Bercanggah (Jahabersa, Johor Bahru 2002). Boleh juga dirujuk edisi “e-book” di www.al-firdaus.com
[2]           Kecuali jika atas nasihat para pakar perubatan bahawa meneruskan kehamilan akan membawa kemudaratan yang besar kepada ibu. Maka jika demikian kesnya, harus menggugurkan kandungan. Berikut beberapa sumber rujukan dalam bahasa Melayu:
1.       Perubatan Moden Menurut Perspektif Islam oleh Basri Ibrahim (Darul Nu’man, K. Lumpur 1999).
2.       Isu-Isu Bio Perubatan Menurut Islam oleh Abul Fadl Mohsin Ibrahim (edisi terjemahan oleh Yusof Ismail; A.S. Noordeen, K. Lumpur 1995). (penyunting).
[3]           Seperti keselamatan ibu dan anak. (penyunting)
[4]           Maksudnya para tokoh dalam Mazhab Hanbali (penyunting).


klik iklan ni tak kena bayar pun